mutakhir

Tiga jahanam kantoi [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

TIGA lelaki yang dikenali dengan Geng Tiga Jahanam dengan menjadikan sebuah inap desa di Sungai Limau, Yan sebagai tempat menyimpan dadah ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata, ketiga-tiga suspek itu berusia antara 39 hingga 42 tahun ditahan di inap desa terbabit pada 1.30 pagi.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan hasil daripada risikan dan maklumat yang diterima.

“Hasil serbuan di inap desa itu, kami menemui dua buah kotak yang bertulis mengandungi serbuk pencuci.

“Pemeriksaan dalam satu daripada kotak itu kemudian menemui 20 bungkusan plastik hijau teh herba tetapi di dalamnya berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 20,873 gram (20 kilogram (kg),” katanya ketika sidang media di IPD Yan hari ini.

Zainuddin berkata, hasil pemeriksaan kedua pada satu lagi kotak menemui 15 bungkusan plastik teh herba yang mengandungi dadah disyaki jenis syabu dianggarkan beratnya 15,270 gram (15 kg).

Beliau berkata, kesemua 35 paket plastik dadah berkenaan dianggarkan 36,143 gram (36 kg) bernilai RM1.8 juta.

“Kesemua rampasan dadah itu mampu membekalkan kepada 36,000 penagih jika dijual setiap satu gram.

“Seorang daripada suspek yang ditahan itu didapati bekerja sebagai kontraktor manakala seorang lagi pekerja kedai mencuci kereta dan suspek ketiga pula tidak bekerja,” katanya.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal mendapati dua daripada suspek itu positif dadah jenis methaphetamine manakala seorang lagi negatif.

Zainuddin berkata, hasil semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Katanya, hasil semakan kereta Proton Persona yang dirampas daripada suspek adalah milik isteri seorang daripadanya.

“Mereka direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan bermula 17 Disember hingga 23 Disember ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

“Kita juga menasihatkan semua pemilik inap desa di negeri ini supaya berhati-hati untuk menyewa kepada orang ramai kerana bimbang mereka akan menggunakan kediaman berkenaan sebagai transit untuk mengedar dadah,” katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 4:42pm
d