mutakhir

Dungun, Hulu Terengganu sudah banjir

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

BANJIR gelombang kedua mula melanda Terengganu dengan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dungun dan Hulu Terengganu, sehingga 8 malam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, ia membabitkan dua PPS di Dungun dan satu PPS di Hulu Terengganu.

Katanya, seramai 78 mangsa ditempatkan di semua PPS itu membabitkan 25 keluarga.

“PPS yang dibuka di Dungun adalah di Dewan Orang Ramai Kampung Minda yang menempatkan 39 mangsa daripada 14 keluarga dan di Surau Kampung Besol Lama bagi 15 mangsa (lima keluarga).

“Sementara di Hulu Terengganu, PPS dibuka di Kampung Menerong yang menempatkan 24 mangsa daripada enam keluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, hujan lebat melanda negeri itu menyaksikan beberapa jalan utama di dua daerah itu ditutup.

Ia Jalan Utama Felda Mengkawang-Tersat dekat Kampung Periuk yang dinaiki air sedalam 1.2 meter (m), selain Jalan Bukit Diman-Tersat dekat Pengkalan Ajal.

Di Dungun, jalan yang ditutup adalah Jalan Jerangau Jabor berhampiran Stesen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Besi ditutup untuk kenderaan ringan.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 8:49pm
d