mutakhir

Kes SRC: 'Seperti tandatangan saya'

Oleh Murni Wan Omar

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengakui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa beliau tidak mengetahui punca sebenar dana wang berjumlah jutaan Ringgit Malaysia yang dibelanjakannya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berhubung dana wang yang masuk ke dalam akaun peribadi miliknya pada 2015.

SITHAMBARAM: Adakah anda tahu bahawa wang itu dimasukkan ke dalam akaun kamu atas arahan dari Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil iaitu individu yang diamanahkan untuk menguruskan akaun?

NAJIB: Tidak tahu.

SITHAMBARAM: Bagaimana kamu tidak tahu?

NAJIB: Saya menganggap ia adalah wang hasil derma.

SITHAMBARAM: Saya cadangkan kepada kamu bahawa dakwaan derma dari Arab Saudi ini hanya untuk menutup kisah sebenar?

NAJIB: Tidak setuju.

Sementara itu, Najib mengakui bahawa beliau tidak terbabit dengan hal operasi SRC seperti pemindahan wang dari syarikat itu ke Ihsan Perdana Sdn Bhd pada 2014.

Beliau berkata demikian ketika menjawab berhubung transaksi keluar wang RM40 juta yang masuk ke Ihsan Perdana.

SITHAMBARAM: Kamu adalah orang yang penting, bagaimana kamu tidak mengetahuinya?

NAJIB: Saya tidak terbabit dengan hal operasi kerana saya menjaga negara.

Sementara itu, suasana mahkamah ceria seketika apabila Sithambaram menyamakan jawapan Najib kepada beberapa soalan hari ini sama dengan ‘ayat’ yang pernah dikeluarkan oleh Datuk VK Lingam.

Pada 2008, Suruhanjaya Siasatan Diraja diadakan bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam proses lantikan kehakiman oleh sesetengah hakim negara ini.

Dalam keterangan Lingam ketika itu selepas melihat satu paparan rakaman video, beliau berkata, “kelihatan seperti saya, bunyi seperti saya.”

SITHAMBARAM: Sila lihat surat itu adakah ia mempunyai nama dan tandatangan anda?

NAJIB: Seperti tandatangan saya.

SITHAMBARAM: Bila anda menjawab begitu, ia seperti sama dengan jawapan ‘kelihatan seperti saya, bunyi seperti saya’.

Kenyataan Sithambaram itu menyebabkan mereka yang berada dalam mahkamah ketawa.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung hari ini.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 9:55pm
d