mutakhir

Banjir di Kelantan kian parah

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

MANGSA banjir Kelantan terus meningkat kepada 3,744 orang daripada 1,108 keluarga setakat 9 malam ini, berbanding 3,212 orang 6 petang tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di 42 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan lima daerah iaitu Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir di Jeli terus meningkat membabitkan 1,969 orang daripada 616 keluarga di 12 PPS.

Diikuti Tanah Merah seramai 1,211 orang daripada 319 keluarga di 22 PPS dan Kuala Krai 235 mangsa daripada 68 keluarga di empat PPS.

Manakala, seramai 263 mangsa daripada 82 keluarga berada di tiga PPS di Machang dan Pasir Puteh (66 mangsa daripada 23 keluarga) di sebuah PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Changgal.

Sementara itu, mengikut laporan di laman web Jabatan Pengairan dan Saliran, www.publicinfobanjir.water.gov.my,

Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Sungai Golok di Rantau Panjang kini berada di paras bahaya masing-masing dengan bacaan 24.44 meter dan 9.24 meter.

Sungai Kelantan di Kusial masih berada di paras amaran dengan bacaan 14.53 meter, manakala Sungai Galas di Dabong dan Sungai Lebir di Tualang pula masing-masing merekodkan 33.71 meter dan 30.37 meter, iaitu paras berjaga-jaga.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 10:28pm
d