mutakhir

Masuk 18 skru

Oleh Siti Rohana Idris

KANAK-kanak berusia 11 tahun yang menghidap Scoliosis atau tulang belakang bengkok berjaya menjalani pembedahan memasukkan 18 skru, Isnin lalu.

Pembedahan ke atas Muhamad Syawal Ramli yang dijalankan lebih lapan jam dilakukan selepas lima tahun tertangguh berikutan kekangan kewangan.

Ibunya, Hanisah Abdul Rashid, 43, berkata, sebaik doktor menetapkan tarikh pembedahan bulan lalu, anak keenam daripada tujuh beradik itu teruja, namun agak bimbang.

“Kerap dia bertanya adakah pembedahan itu akan membuatkan tulang badannya normal seperti orang lain dan tidak semput?

“Kami memberitahu dia akan elok sama seperti orang lain dan mampu berlari serta bermain dengan rakan.

“Kami bertanya jika dia berasa takut, tetapi dia tidak menjawab sebaliknya hanya mengalirkan air mata, mungkin bimbang,” katanya di Wad Anggerik, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, semalam.

Kisah kanak-kanak itu pernah dipaparkan di akhbar mengenai keadaan fizikalnya yang bengkok kerana menghidap Scoliosis dan pihak hospital mencadangkan pembedahan memasukkan skru dilakukan, namun keluarganya tidak dapat meneruskan berikutan kos terlalu tinggi iaitu RM30,000.

Bagaimanapun sebaik dipaparkan di akhbar, ramai menyalurkan sumbangan dan berjaya mengumpulkan kos pembedahan dalam masa kurang sebulan.

Hanisah berkata, sebaik sedar daripada pembedahan, anaknya gembira melihat badannya tidak lagi bengkok.

Dia berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi sumbangan untuk pembedahan anaknya. Muhamad Syawal kerana sudah lama mereka menantikan saat itu.

“Syukur Alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan kepada penderma kerana sangat prihatin dengan keadaan kami yang mana jika tanpa sumbangan ini, Syawal mungkin akan berkeadaan begini (tulang bengkok) seumur hidup.

“Sumbangan yang diberikan masih ada lebihan dan kami akan gunakan untuk rawatan susulan Syawal,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 6:30am
d