mutakhir

Wanita curah kasih kepada adik angkat, ayah

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

WALAUPUN tiada pertalian darah, naluri Hasida Saad sebagai insan melebihi segalanya yang setia mencurahkan kasih kepada adik angkatnya yang juga orang kurang upaya.

Hasida, 37, bukan saja menjaga adik angkatnya Noraini Fasha Hanifah, 17, yang menghidap Cerebral Palsy, namun turut menguruskan bapanya, Saad Idris, 76, yang kini uzur dan nyanyuk.

Noraini atau lebih mesra dengan panggilan Ain kini yatim piatu selepas ibu dan bapa kandungnya meninggal dunia dua dan enam tahun lalu.

Kerana tanggungjawab itu Hasida bersama tiga anak berusia dua hingga 10 tahun sanggup berkorban dan berpisah sementara dengan suami, Mohd Rizal Abd Aziz, 39, yang kini menetap di Gerik kerana turut menjaga ibu dan adiknya yang sakit.

Menurut Hasida, mereka sekeluarga menjaga Ain sejak remaja itu berusia dua bulan sebagai anak asuhan sementara arwah ibu bapanya bekerja.

“Ain dilahirkan normal sebelum dia diserang sawan pada usia setahun yang terus menjadikan dia anak istimewa. Kami menjaganya seperti darah daging sendiri,” katanya ketika ditemui bersama aktivis sosial, Rohaidatul Asma Jusoh di rumahnya di Kampung Changkat, Beruas, semalam.

Menurutnya, kekurangan Ain tidak pernah dianggap beban atau mengubah kasih sayang mereka sekeluarga terhadap anak istimewa itu sebaliknya semakin menyayanginya.

“Walaupun dia bukan saudara kandung, kasih sayang dan perhatian kepadanya tidak pernah berubah.

“Ayah dan arwah emak (Hasmah Harun, 60) sangat sayangkan Ain, malah tidak membenarkan orang lain mengambil dia biarpun ada yang sanggup menjaga,” katanya.

Hasida berkata, perbelanjaan keperluan seperti susu dan lampin pakai buang ditanggung menggunakan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pencen arwah bapa Ain, manakala bapanya dibantu Baitulmal.

“Kalau duit lambat masuk saya terpaksa berhutang dulu di kedai untuk beli lampin pakai buang, namun tak pernah anggap menjaga Ain sebagai beban biarpun saya cepat penat kerana ada asma.

“Cuma yang merisaukan saya bagaimana keadaan mereka jika saya yang pergi dulu nanti,” katanya yang mengambil upah menghantar kanak-kanak ke sekolah dengan bayaran RM50 sebulan. Suaminya pula menghantar wang belanja tidak menentu kerana hanya bekerja kampung.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 7:00am
d