mutakhir

Timbalan Pengarah MCMC didakwa rasuah

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

TIMBALAN Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pos dan E Dagang, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM87,000 berhubung kelulusan projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

Mohd Iskandar King ,42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suatu suapan wang tunai berjumlah RM50,000 daripada Pengarah Syarikat Golden Sunrise Ventures Sdn Bhd dan pakar runding bagi Syarikat OCK Setia Engineering Sdn Bhd, Mohd Azuzi Mohamed Kamil.

Ia sebagai upah untuk tertuduh yang bertugas sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pos dan E Dagang MCMC kononnya sebagai balasan telah membantu mendapatkan projek Universal Service Provider (USP) Time 3 Extension Phase 1 daripada suruhanjaya itu bagi syarikat OCK Setia Engineering Sdn Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di restoran di IOI City Mall Putrajaya pada 8 malam, 9 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Mohd Iskandar didakwa menerima dua cek masing-masing bernilai RM18,500 atas nama isterinya, Nur Ellina Abdul Sukor dan atas namanya sendiri daripada Mohd Azuzi yang mana tertuduh mengetahui Mohd Azuzi mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya di Bukit Jalil Golf and Country Resort, 5 petang, pada 23 Jun 2015.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut berdepan dengan satu pertuduhan pilihan iaitu menerima wang tunai RM50,000 daripada Mohd Azuzi yang mana tertuduh mengetahui bahawa Mohd Azuzi mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya di sebuah restoran di IOI City Mall Putrajaya pada 8 malam, 9 Januari lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Noor Hafizan Zakaria menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di Ibu Pejabat SPRM sebulan sekali.

Peguam R Sivahnanthan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh memberi kerjasama kepada SPRM selain menghidap penyakit bronkitis serta mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan 16 Januari ini.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 12:12pm
d