mutakhir

'Kekalkan had umur perkahwinan'

Oleh Hasbi Sidek

PERSATUAN Peguam Syarie Negeri Sembilan (PGSMNS) meminta kerajaan negeri supaya mengekalkan had umur perkahwinan di negeri ini iaitu 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki.

Had umur perkahwinan itu adalah mengikut Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 2003.

Pengerusi PGSMNS, Datuk Hanif Hassan berkata, mengikut empat mazhab dalam Islam, tiada had umur untuk berkahwin dan pendapat mazhab itu adalah berdasarkan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Malah katanya, berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan, perkahwinan kanak-kanak adalah harus dan dibenarkan dengan syarat ia dilakukan untuk kepentingan dan kebajikan mengikut syarie, peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Di negeri ini melalui Arahan Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan Bil 3 Tahun 2019 yang berkuatkuasa pada 2 Mac 2019 menetapkan kes permohonan pernikahan bawah umur adalah terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah.

“Prosiding bagi permohonan itu adalah berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bertarikh 28 September 2018 dan kini menjadi panduan Mahkamah Syariah seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di Seremban, hari ini.

Beliau berkata, Mahkamah Syariah Negeri Sembilan mengambil inisiatif mengukuhkan SOP itu dengan membabitkan pihak perubatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis kerana laporan daripada agensi terbabit perlu disertakan dalam permohonan.

“Jelas menunjukkan kebenaran perkahwinan kanak-kanak hanya diberikan selepas melalui satu proses yang ketat dan bukan diberi dengan mudah.

“Ini kerana setiap aspek diambil kira termasuk hukum syarak, kesihatan, latar belakang, pendapatan, kedudukan sosial, kemampuan dan pendidikan bagi memastikan kanak-kanak itu tidak berdepan masalah jika berkahwin,” katanya.

Justeru katanya, menaikkan had umur berkahwin tidak boleh dijadikan sebab untuk menyelesaikan masalah sosial, malah berkemungkinan akan lebih menimbulkan masalah.

“Bagi pasangan yang terlanjur dan sudah mempunyai anak tetapi mahu mengesahkan hubungan mengikut undang-undang, akan berdepan kesukaran kerana terdapat larangan perkahwinan kanak-kanak dan gagal menjadi satu keluarga yang sah.

“SOP bagi permohonan mendapatkan kebenaran daripada Hakim Syarie atau mahkamah dengan membabitkan agensi lain adalah satu langkah konstruktif bagi mengawal permohonan perkahwinan kanak-kanak.

“Justeru, bagi memastikan perkahwinan itu berada dalam keadaan baik, pasangan perlu diberi kefahaman mendalam mengenai tujuan, cabaran dan tuntutan dalam perkahwinan selain pendidikan.

“Wali juga perlu memainkan peranan penting dengan mengambil tahu risiko wanita yang berkahwin itu terbela dengan baik,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 2:25pm
d