mutakhir

Patah sindiket judi 'online' China

Oleh Norasikin Daineh

SINDIKET perjudian atas talian yang didalangi warganegara China berjaya dipatahkan hasil serbuan di sebuah premis di Inanam, Kota Kinabalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, serbuan dibuat pada 9 malam, 10 Disember lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Pencegahan Judi/Maksiat/Gansterism (D7) Kontinjen Sabah.

“Terdapat tiga siri tangkapan iaitu pada tangkapan pertama membabitkan lapan lelaki termasuk tiga warganegara Filipina yang tiada dokumen pengenalan diri dan seorang warganegara China.

“Mereka dipercayai terbabit dalam aktiviti perjudian atas talian di bangunan berkenaan.

“Susulan tangkapan itu, dengan dipandu lapan suspek, kita berjaya menahan 11 warganegara China yang duduk di hadapan komputer, disyaki menjalankan aktiviti perjudian atas talian.

“Manakala, serbuan berikutnya di lima bilik membawa kepada penahanan 14 warganegara China termasuk lima wanita,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Zaini berkata, semua suspek yang ditahan berusia antara 14 hingga 52 tahun dipercayai menjadikan premis itu sebagai ‘pusat panggilan’ bagi kegiatan perjudian di China.

“Kita merampas pelbagai peralatan termasuk komputer, telefon bimbit, tetikus, alat peranti pemindahan wang dan wang tunai sebanyak RM20,280 dipercayai untuk kegiatan itu.

“Turut dirampas dadah jenis syabu seberat 0.67 gram daripada seorang suspek. Premis itu pula pusat kegiatan mereka dan turut dijadikan lokasi penginapan sejak Oktober lalu,” katanya.

Zaini berkata, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi seorang suspek yang memiliki dadah.

Seramai 26 individu warganegara China mempunyai dokumen perjalanan sah, namun akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan dan tiada permit untuk bekerja di Sabah.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, polis berjaya mematahkan satu lagi aktiviti perjudian di Lahad Datu menerusi Ops Dadu yang dilaksanakan pada 18 Disember lalu.

“Dalam serbuan antara 5 petang hingga 7.30 malam itu, polis menyerbu dua lokasi berasingan yang menjalankan kegiatan loteri awam dan judi atas talian.

“Seramai lapan individu berusia antara 19 hingga 39 tahun ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 3:16pm
d