mutakhir

Padah ceroboh, curi hasil negara

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

DUA tekong Vietnam masing-masing didenda RM200,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram.

Tertuduh, Vo Xuan Hieu, 44, dan Huynh Van Khang, 45, masing-masing turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Keputusan dibuat Hakim Nooriah Osman selepas kedua-duanya mengaku salah terhadap pertuduhan itu yang dibaca secara berasingan mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 bersama Seksyen 34 akta berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Vo Xuan Hieu didakwa gagal memberitahu seorang pegawai berkuasa melalui radio, teleks atau faksimili dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu mengenai nama, negara, lokasi jalan dan destinasi kapal berkenaan, jenis dan amaun ikan yang dibawa, selain keadaan vesel itu yang memasuki perairan Malaysia.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jarak 44.3 batu nautika dari Kuala Terengganu pada 2.57 petang, 1 November lalu.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan vesel, peralatan komunikasi dan navigasi berserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan laut sebanyak 5.2 tan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Tertuduh diwakili peguam, Muhammad Syahri Adnan dan Muhammad Fitri Mokhtar.

Manakala, tertuduh Huynh Van Khang pula didakwa melakukan kesalahan sama pada jarak 108.5 batu nautika dari Kuala Terengganu pada 11.20 pagi, 4 Oktober lalu.

Mahkamah turut memerintahkan vesel, peralatan komunikasi dan navigasi berserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan laut sebanyak lima tan itu dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Tertuduh diwakili peguam, Suhaimi Ismail.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mohamad Afiq Taqiudin Roslan.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 4:21pm
d