mutakhir

Banjir: Mangsa berkurangan di Kelantan, Pahang [METROTV]

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Asrol Awang

MANGSA banjir di Kelantan dan Pahang berkurangan dengan hanya 2,462 orang masih ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 6 petang.

Jumlah itu membabitkan 2,076 orang daripada 644 keluarga di 23 PPS di Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli di Kelantan, manakala hanya 386 mangsa (105 keluarga) menghuni empat PPS di Pahang.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua PPS di Machang ditutup selepas 122 mangsa dibenarkan pulang.

Bagaimanapun, mangsa banjir di Pasir Mas paling ramai membabitkan 1,298 mangsa daripada 445 keluarga di sembilan PPS, diikuti Tanah Merah dengan 500 mangsa daripada 121 keluarga di 11 PPS.

Jeli pula membuka tiga PPS untuk menempatkan 288 orang daripada 78 keluarga.

Paras Sungai Golok di Rantau Panjang masih bahaya dengan bacaan 10.49 meter.

Di Pahang, 351 mangsa daripada 97 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Cermin dan SK Batu Kapor di Temerloh serta, masing-masing satu PPS di Rompin dan Bera.

PPS itu ialah Balai Raya Rekoh (Rompin) yang membabitkan 26 mangsa daripada enam keluarga, dan sembilan mangsa daripada dua keluarga di Kompleks Rakan Muda, Bera.

Jumlah terkini itu turun mendadak berbanding pagi, yang membabitkan 1,145 mangsa daripada 308 keluarga di lapan PPS.

Sementara itu, hanya dua sungai di Pahang mencatat paras berjaga-jaga iaitu Sungai Triang di Bera dengan bacaan 33.57 meter (m) dan Sungai Pahang, Lubuk Paku di Maran merekodkan 18.15 m berbanding paras normal 14m.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan menyatakan amaran hujan lebat peringkat kuning dijangka berlaku di Lipis, Maran, Pekan dan Rompin sehingga lewat malam ini.

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 6:53pm
d