mutakhir

Tujuh tahun cuba baru dapat

Oleh Amir Abd Hamid

SELAMA tujuh tahun dia mencuba nasib sebelum berjaya memperoleh lesen berniaga untuk bazar popular di ibu negara, sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun depan.

Ahmad Daud Rafiei, 52, antara 244 penjaja terpilih dalam Pengundian Lesen Penjaja Sementara Bazar Aidilfitri@Jalan Raja 2020 di Stadium Titiwangsa Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, hari ini.

Dia yang berniaga pakaian berkata, sangat bersyukur menerima lesen itu yang diharap dapat membantu menambah pendapatan keluarganya.

“Alhamdulillah inilah pertama kali saya dapat lesen selepas tujuh tahun memohon. Dalam keadaan ekonomi yang agak kurang memberangsangkan, semoga rezeki ini bertambah,” katanya.

Pada 21 Mei lalu, Ahmad Daud menjadi mangsa kebakaran 30 gerai di hadapan Wisma Yakin, Jalan Masjid India.

Katanya, kejadian pada Ramadan itu tidak mungkin dilupakan kerana pendapatannya merudum dan lokasi yang dipindahkan gagal menarik pelanggan hingga dia terpaksa berniaga di pasar malam sebagai alternatif lain.

“Saya memang minat berniaga dan tak boleh makan gaji kerana tidak selesa. Jadi saya akan terus berusaha serta yakin, kena dengan caranya, perniagaan akan dapat sambutan,” katanya yang berasal dari Kuala Kurau, Perak.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Khairul Anuar Mhd Juri berkata, proses cabutan undi berjalan lancar.

Katanya, ia turut dipantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Dalaman DBKL dan persatuan penjaja bagi memastikan ketelusan.

“Permohonan diterima adalah 1,349. Selepas semakan dibuat, maka yang layak untuk mengundi dan memenuhi semua syarat ialah 1,331 pemohon.

“Daripada itu, 1,246 pemohon kategori barangan kering, manakala 85 lagi makanan kering. Namun kita hanya sediakan 224 petak,” katanya yang memberitahu semua pihak berpuas hati dengan proses cabutan berkenaan.

DBKL berharap orang ramai memeriahkan bazar itu dikenali #BAZARRAYAKL2020 atau Bazar Aidilfitri 2020@Jalan Raja bermula 1 Mei hingga 24 Mei 2020.

Ia turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, apabila bazar itu dimasukkan dalam kalendar pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Disiarkan pada: December 19, 2019 @ 9:09pm
d