mutakhir

Disergah harimau

Oleh Mohd Rafi Mamat

BERTEMU gajah dan harimau belang antara detik cemas pernah dilalui pasangan kembar seiras Azmi Ishak, 60 dan Sulaimi sepanjang 38 tahun bertugas dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Cabaran lain pernah dilalui apabila terpaksa berjalan kaki lebih enam jam dalam hutan dengan mendaki dan menuruni bukit sambil melakukan pelbagai tugas di kawasan hutan daerah ini.

Azmi berkata, sejak diterima sebagai kakitangan awam negeri mereka berdua hanya bertugas di Pejabat Hutan Daerah (PHD) Jerantut membabitkan beberapa unit sepanjang perkhidmatan.

Katanya, bertugas dengan JPNP memerlukan kesabaran yang kuat terutama apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang berada dalam hutan dalam tempoh panjang.

“Setiap bulan antara 20 hingga 30 hari berada dalam hutan, beberapa kumpulan yang melakukan tugas berlainan akan berada dalam hutan secara serentak dengan. Khemah sementara yang didirikan secara gotong-royong menjadi tempat berteduh.

“Walaupun menerima gaji dan elaun bermalam yang rendah berbanding hari ini namun itu tidak menjadi alasan untuk mengabaikan tugas diamanahkan,” katanya di sini, kelmarin.

Dia yang berasal dari Kampung Ulu Cheka, di sini berkata, sebagai kembar seiras banyak kenangan lucu sepanjang bertugas terutama apabila rakan sering tidak dapat membezakan kami berdua.

Azmi berkata, pernah berlaku ketika mewakili pasukan bolasepak Jerantut mereka bertukar ketika perlawanan tanpa disedari pengadil dan pegawai perlawanan.

“Saya mewakili pasukan Jerantut ketika zaman remaja hingga kini bersama skuad veteran, rakan sepasukan sering keliru antara kami.

“Saya tidak pernah berkecil hati apabila rakan keliru antara saya dan Sulaimi, mereka sukar membeza kami,” katanya yang bersara wajib sebagai kakitangan awam Mac lalu.

Bagi Sulaimi, ketika zaman remaja apabila kami berjalan bersama ramai yang memandang sambil menegur menyatakan budak kembar.

“Kenangan bertugas dengan PHD Jerantut terlalu banyak untuk diceritakan.

“Ketika bertugas pegawai juga selalu terkeliru antara kami namun ada juga rakan dapat membezakan kami,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 7:00am
d