mutakhir

10 tahun terlantar

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

KEMALANGAN jalan raya lebih 10 tahun lalu menyebabkan pemuda dari Kampung Batu 23, di sini, terpaksa menghabiskan sisa hidupnya dengan terbaring di atas tilam.

Muhamad Alif Akil Shaari, 27, terbabit dalam kemalangan ketika berusia 16 tahun dan dalam perjalanan menghadiri kelas tambahan petang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dari arah belakang.

Akibat kemalangan itu, sebahagian tempurung kepala sebelah kanannya terpaksa dibuang untuk mengeluarkan darah beku berikutan kecederaan parah dialaminya.

Ibunya, Rohayati Usop, 53, berkata, anak kedua daripada enam beradik itu kini hanya terbaring dan perlu diuruskan seperti bayi, apatah lagi tidak boleh bersuara untuk berkomunikasi.

Katanya, hampir empat bulan dia dan suami, Shaari Ahmad, 56, berkampung di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan Hospital Machang sebelum anaknya dibenarkan pulang.

“Sejak terbabit kemalangan, anak saya bergantung sepenuhnya pada susu khas yang perlu diberi setiap empat jam sekali melalui saluran tiub yang dipasang dihidungnya dan satu tin susu berharga RM46 hanya bertahan untuk dua hari.

“Lebih menyedihkan, ada kalanya anak saya diserang sawan dan baru-baru ini dia terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana sawan,” katanya di rumahnya, baru-baru ini.

Katanya, setiap bulan mereka memperuntukkan RM1,000 termasuk pembelian susu khas dan lampin pakai buang untuk keperluan anaknya.

“Kos ini agak membebankan kerana suami hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah selain perlu menanggung dua lagi anak yang masih bersekolah berusia 15 dan 17 tahun.

“Walaupun anak menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300, ia tidak mencukupi,” katanya.

“Ada ketikanya saya terpaksa memberinya minum air teh susu apabila bekalan susu terputus sebelum dapat membelinya semula selain mengisar nasi putih,” katanya.

Katanya, doktor memaklumkan peluang untuk anaknya itu kembali pulih agak tipis dan walaupun diuji masalah kewangan, kami sekeluarga tetap akan menjaga Muhamad Alif Akil dengan penuh kasih sayang.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 7:30am
d