mutakhir

Tiga daerah masih dilanda banjir

Oleh Asrol Awang

JUMLAH mangsa banjir di Pahang kekal 386 orang daripada 105 keluarga yang masih berada di empat pusat penempatan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Temerloh, Bera dan Rompin, pagi hari ini.

Menurut aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 8 pagi ini merekodkan, 351 mangsa daripada 97 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Cermin dan SK Batu Kapor di Temerloh.

Masing-masing satu PPS dibuka di Rompin iaitu Balai Raya Rekoh membabitkan 26 mangsa daripada enam keluarga manakala di Bera pula seramai sembilan mangsa daripada dua keluarga berada di Kompleks Rakan Muda.

Sementara itu, hanya satu sungai di Pahang yang masih mencatat peningkatan paras air iaitu melepasi paras berjaga-jaga, pagi ini, iaitu Sungai Pahang, Lubuk Paku di Maran yang merekodkan 18.05 meter berbanding normal 14 m.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan pula menyatakan amaran hujan lebat peringkat jingga di Kuantan dan Jerantut ditamatkan.

Manakala amaran hujan lebat peringkat kuning yang dijangka berlaku di daerah Lipis, Maran, Pekan dan Rompin turut ditamatkan.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 9:32am
d