mutakhir

Mangsa banjir Johor berkurangan

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SERAMAI 1,229 mangsa yang terjejas dengan banjir masih ditempatkan di 23 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di Johor setakat 8 pagi tadi.

Jumlah itu jelas berkurangan sebanyak 239 orang berbanding 1,468 mangsa pada 4 petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor berkata, hanya 303 keluarga sahaja yang masih belum dibenarkan pulang ke rumah setakat pagi ini berbanding 375 petang semalam.

“Di Segamat masih terdapat 580 mangsa di 13 PPS, manakala Kluang mencatatkan 217 mangsa di tiga PPS.

“Turut berada di tiga PPS di Kota Tinggi adalah 267 orang mangsa, Pontian (71 mangsa di sebuah PPS) dan Batu Pahat (94 mangsa di tiga PPS),” katanya.

Menurutnya, bagi jalan yang terputus hubungan, masih terdapat dua jalan di Mersing dan tiga jalan di Segamat yang masih terjejas.

“Jalan Telok Arong di Mersing sahaja yang hanya membuka satu laluan untuk kenderaan ringan, sebaliknya Jalan Tanah Abang, Mersing; Jalan Paya Balai Badang, Jalan Putting dan Jalan Tumang di Segamat, masih ditutup untuk semua jenis kenderaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 9:38am
d