mutakhir

Bangkai kapal dah lama karam

Oleh Mohd Roji Kawi

BANGKAI kapal misteri yang tiba-tiba muncul dalam keadaan terjungkit di perairan Santubong berdekatan Pulau Satang di Kuching, 14 Disember lalu, dipercayai kapal nelayan yang sudah lama karam.

Kapal berkenaan mungkin tenggelam di lokasi lain dan dibawa arus deras Laut China Selatan sehingga terdampar di lokasi ia ditemui berdekatan Pulau Satang itu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Laksamana Pertama Robert Teh Geok Chuan berkata, ia boleh berlaku apabila arus laut terlalu deras ketika musim Monsun Timur Laut.

“Kawasan bangkai kapal itu ditemui memang berarus deras dan ia menguatkan lagi keyakinan bahawa ia kapal lama yang dibawa arus di dasar laut.

“Jika kapal itu baru karam, tentu sudah ada pihak tampil menuntutnya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Ops Selamat Perayaan Krismas oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din, di Siburan, kelmarin.

Geok Chuan berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kapal atau bot nelayan karam di perairan negeri ini, namun usaha terus dijalankan untuk mengenalpasti pemilik kapal itu.

Sementara itu, Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5, Asisten Komisioner Shamsol Kassim pula menjelaskan teori sama.

Beliau berkata, kejadian kapal yang karam dalam tempoh lama tiba-tiba muncul di perairan cetek tidak mustahil berlaku.

“Ya...memang arus deras dasar laut mampu membawa bangkai kapal yang karam itu ke tempat lain dan kapal itu boleh dilihat apabila dibawa hingga ke kawasan cetek.

“Ini yang mungkin berlaku pada bangkai kapal yang ditemui berdekatan Pulau Satang itu,” katanya.

Bangkai kapal berkenaan ditemui sekumpulan pemancing yang menaiki bot ‘Nemo Fishing’ pada tengah hari, 14 Disember lalu.

Kumpulan pemancing itu sempat merakam gambar serta video penemuan itu sebelum melaporkannya kepada APMM pada 7.40 malam, hari yang sama.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 9:49am
d