mutakhir

Bapa, suami terlantar

Oleh Noorazura Abdul Rahman

GURU Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) terpaksa meniti hidup dalam kesusahan apabila suami dan bapanya terlantar akibat penyakit kronik sejak tahun lalu.

Che Puteh Saleh, 37, berkata, suaminya Khairul Amri Ahmad, 46, terlantar akibat strok serta komplikasi batu karang dan memerlukan penjagaan rapi termasuk memberi makan melalui tiub di perut.

Katanya, penyakit suaminya dikesan pada Oktober tahun lalu selepas terkena serangan strok pada bahagian badan sebelah kiri sebelum disahkan doktor turut menghadapi masalah batu karang kronik.

“Apabila terkena serangan strok, saya membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, tapi semasa rawatan air kencing suami saya turut bercampur darah.

“Imbasan mendapati terdapat batu karang pada bahagian pinggang kanan dan kiri selain batu dalam saluran hempedu dan hati. Doktor tidak menjalankan pembedahan kerana risiko terlalu tinggi dengan keadaannya yang lemah,” katanya ketika ditemui di Kampung Changkat Nering, Padang Pusing, di Pendang.

Bercerita lanjut, ibu kepada seorang anak ini berkata, setiap bulan suaminya akan menjalani rawatan tambah darah di HSB dan akan ditahan di wad.

Katanya, suaminya kini bergantung kepada susu khas selain lampin pakai buang.

Guru ini berkata, bapanya, Saleh Saman, 88, juga terlantar akibat sakit tua.

“Bapa saya juga terlantar sejak empat bulan lalu, dia juga perlu memakai lampin pakai buang.

“Setiap hari menjadi rutin saya memandikan mereka, memberi makan dan menukar lampin pakai buang sebelum pergi bekerja.

“Saya buntu kerana hujung tahun ini bekalan susu dari bahagian kebajikan sosial HSB akan tamat, harganya RM44 untuk 400 gram dan hanya tahan sehari manakala lampin pakai buang pula saya perlu belanjakan hampir RM300 sebulan.

“Dengan gaji saya hanya kira-kira RM1,000 sebulan memang tak cukup, saya hanya mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan serta ihsan saudara mara dan kenalan yang datang menghulurkan bantuan,” katanya.

Bagaimanapun, penderitaan keluarga ini sedikit terubat apabila mendapat perhatian Pengerusi Sahabat Charity Balqish (SCB) Rukiza Abu Bakar yang tampil menghulurkan bantuan barangan keperluan suami dan bapa Che Puteh serta wang tunai.

Bagi orang ramai yang mahu membantu Che Putih, dia boleh dihubungi menerusi nombor 019-4553169 atau menerusi akaun Maybank miliknya (152125295969).

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 10:43am
d