mutakhir

Dua laporan H1N1 di Lumut

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Perak menerima dua laporan membabitkan wabak Influenza Like Illness (ILI) iaitu jangkitan salur pernafasan membabitkan anggota dan pelatih di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

Pengarahnya, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, pihaknya melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Manjung menerima kedua-dua laporan itu masing-masing pada 10 dan 14 Disember lalu.

Menurutnya, sehingga Isnin lalu, pihaknya sudah melakukan ujian saringan terhadap 1,572 individu dan bilangan keseluruhan kes yang dikesan termasuk dirujuk di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut adalah seramai 122 orang.

“Kejadian pertama membabitkan 25 anggota TLDM, siasatan yang dijalankan mendapati kes terakhir yang dilaporkan bagi kumpulan ini adalah pada 9 Disember lalu dan sehingga hari ini tiada kes baru dilaporkan.

“Kesemua mereka ini masih dalam tempoh pemantauan dan dijangka tamat pada Isnin depan,” katanya dalam satu kenyataannya di Ipoh, hari ini.

Lay Ming berkata, kejadian kedua pula dilaporkan oleh Pakar Kecemasan dari HAT Lumut dan ia membabitkan 16 pelatih TLDM yang dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan lanjut.

“Seramai 67 pelatih lagi sudah diasingkan di fasiliti isolasi sedia ada dalam kawasan pangkalan berkenaan selepas mengalami gejala demam, batuk, selsema dan sakit tekak,” katanya.

Menurut Lay Ming, susulan itu, PKD Manjung bersama pasukan kesihatan HAT Lumut menjalankan aktiviti pengesanan aktif kes dengan mengambil sampel daripada beberapa individu mempunyai gejala sedemikian.

“Sejumlah sampel yang diambil daripada individu yang mempunyai gejala untuk kedua-dua kejadian kluster berkaitan dikesan positif bagi virus influenza A (H1N1).

“Justeru, JKN Perak ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau ‘sanitizer’ dan mengamalkan adab batuk yang baik,” katanya.

Semalam media melaporkan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, beberapa warga TLDM Lumut sahaja yang disyaki mempunyai simptom seakan jangkitan H1N1.

Mohd Reza dalam laporan berkenaan berkata, pihaknya mengesyaki ia adalah jangkitan H1N1 dan mereka yang terbabit dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 11:31am
d