mutakhir

Suami isteri didakwa eksploitasi amah

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

SUAMI isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, masing-masing atas pertuduhan memperdagang pembantu rumah warga Indonesia bagi maksud eksploitasi pengabdian, sejak lapan tahun lalu.

Tertuduh, V Chandru,35, dan J Jayamalar, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Chandru didakwa memperdagangkan wanita berusia 29 tahun bagi maksud eksploitasi pengabdian di No 25, Hala Kledang Emas 11A, Taman Kledang, di Ipoh, antara 2011 hingga 20 Oktober lalu.

Jayamalar pula didakwa memperdagangkan wanita sama bagi maksud eksploitasi pengabdian dengan cara penggunaan kekerasan di lokasi dan tarikh yang sama.

Chandru didakwa mengikut Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda.

Jayamalar pula didakwa mengikut Seksyen 13 Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Sementara itu, Jayamalar turut berdepan satu lagi pertuduhan menyebabkan parah ke atas wanita berkenaan di lokasi serta tarikh sama dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab manakala pasangan itu diwakili peguam Matthews Jude.

Terdahulu, Fadhli menawarkan jaminan sebanyak RM30,000.

Mathews bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jaminan berkenaan atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama kepada polis sepanjang siasatan kes.

Azman kemudiannya membenarkan tertuduh masing-masing sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga menetapkan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis terdekat dua minggu sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula 20 Januari ini.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 12:04pm
d