mutakhir

Seronok belajar mengaji

Oleh Mohd Khidir Zakaria

SERAMAI 30 murid sekolah rendah dan menengah di sekitar Bandar Springhill, Port Dickson, mengisi cuti persekolahan mereka dengan menyertai Kem Tahsin Al-Quran Teknik Al-Baghdadi anjuran Masjid Bandar Springhill, di sini, yang berakhir semalam.

Program selama dua hari itu mendedahkan peserta mengenai teknik mengingat dan menghafaz al-Quran dengan betul, sekali gus mengisi masa terluang mereka dengan aktiviti berfaedah.

Muhammad Mubasyir Azman, 11, berkata, ini kali pertama dia menyertai program berkenaan dan ternyata ia aktiviti yang menyeronokkan apabila dapat mempelajari teknik untuk menguasai bacaan al-Quran.

“Program ini lebih kepada cara mengingat atau teknik betul menghafaz Al-Quran. Ini kali pertama saya mengikuti kem bacaan Al-Quran teknik Al-Baghdadi.

“Pada mulanya saya fikir program ini hanya sekadar mengajar membaca Al-Quran, tetapi dalam masa yang singkat, kami dapat menguasai beberapa surah secara pantas,” kata murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lukut ini.

Bagi Nur Amni Umairah Azizan, 14, program seperti ini perlu diadakan lagi kerana banyak membantu dari segi bacaan dan teknik mudah menghafal Al-Quran.

“Program dua hari ini terasa seperti sekejap, mungkin kerana ia diselang-selikan dengan pelbagai permainan membuatkan kami tidak bosan.

“Kalau boleh saya mahu menyertainya lagi jika dianjurkan. Mungkin ia boleh dikembangkan di semua sekolah agama supaya menggunakan teknik Al-Baghdadi kerana lebih mudah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Bandar Springhill, Mohd Fadzli Mohd Yunus berkata, program itu anjuran Masjid Bandar Springhill yang diadakan secara percuma untuk 30 peserta anak-anak kariah Bandar Springhill.

“Program ini sebagai perintis bagi mengisi masa terluang sempena cuti persekolahan dan ternyata ia mendapat sambutan hangat dari penduduk setempat apabila kami mendapat pendaftaran lebih 70 orang peserta tetapi hanya 30 orang sahaja yang diterima.

“Teknik ini bagi meningkatkan kefahaman berkaitan bacaan Al-Quran, memperbaiki mutu bacaan Al-Quran dan meningkatkan kefahaman berkaitan tajwid dan mempraktikkannya ketika bacaan Al-Quran,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 1:46pm
d