mutakhir

Bomba bantu urus jenazah lelaki obesiti

Oleh Siti Rohana Idris

SEPASUKAN anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat dipanggil bagi membantu dalam pengurusan jenazah lelaki obesiti seberat 300 kilogram.

Jenazah lelaki yang berusia 50 tahun itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Datuk, di Tumpat, 8.30 malam tadi.

Difahamkan, lelaki yang berasal dari Jalan Istana Bukit Tanah itu menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu sejak hampir seminggu lalu akibat penyakit kencing manis sebelum meninggal dunia malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada keluarga lelaki berkenaan untuk membantu menguruskan pengebumian jenazahnya.

“Seramai enam anggota dikerahkan ke tanah perkuburan itu dan kira-kira satu jam masa diambil untuk kerja menguruskan jenazah.

“Anggota menggunakan tali dan peralatan khas untuk menurunkan jenazah ke liang lahad,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, anggotanya terpaksa berhati-hati kerana keadaan tanah yang basah disebabkan hujan, namun kerja pengebumian berjalan lancar dengan bantuan penduduk kampung.

Katanya, tugasan itu adalah satu khidmat khas kemanusiaan daripada pasukan bomba terhadap masyarakat dan bersedia membantu bila-bila masa.

“Kami juga sentiasa bersedia dalam apa juga situasi yang diperlukan,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 3:28pm
d