mutakhir

Mayat terapung di tengah laut

Oleh Siraj Mohd Zaini

SEORANG nelayan terkejut apabila menemui mayat lelaki lengkap berpakaian terapung di perairan Pulau Ketam, dekat Pelabuhan Klang, semalam.

Dalam kejadian 12.20 tengah hari itu, nelayan berusia 63 tahun itu pada mulanya menyangka ia adalah tong ikan yang terapung di laut.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, sebaik mendekati objek terbabit, nelayan itu menyedari ia adalah mayat seorang lelaki.

“Ketika kejadian nelayan itu seorang diri sedang menarik pukat untuk menangkap ikan.

“Dia (nelayan) menyangka objek itu adalah tong ikan dan apabila mendekatinya dia terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, identiti mayat itu tidak dapat disahkan kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

“Aset APMM kemudian digerakkan ke jeti Pulau Ketam untuk mengambil mayat itu dan seterusnya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

“Kes diserahkan kepada polis untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 3:53pm
d