mutakhir

Buat apa saja untuk memperdaya

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

MENGEKSPLOITASI gambar bayi dan kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik di media sosial, itu tindakan pasangan suami isteri untuk memperoleh wang ‘atas angin’ dengan memperdaya orang ramai.

Namun, perbuatan mereka terbongkar apabila polis mengesan nama pemilik akaun bank yang sama meminta wang daripada orang ramai bagi gambar bayi dan kanak-kanak berlainan.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pasangan itu turut menggunakan beberapa akaun bank berlainan bagi mengelakkan perbuatan mereka dikesan.

Menurutnya, siasatan pihaknya mendapati pasangan itu menggunakan beberapa akaun bank atas nama seorang kenalan mereka yang bekerja sebagai penjaga parkir di Kuala Lumpur.

“Kegiatan itu dipercayai dilakukan secara berkala sejak 2015 sebelum dihentikan dan kembali aktif semula pada April tahun ini.

“Pasangan itu yang memegang kad perbankan berkenaan dipercayai membayar sejumlah wang kepada pemilik akaun terbabit sebagai upah menggunakan kad bank milik individu itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saiful Azly berkata, hasil siasatan pihaknya berjaya menahan pemilik akaun bank itu pada petang semalam dan direman sehingga esok.

“Buat masa ini, kita masih menjalankan siasatan lanjut untuk menjejaki pasangan suami isteri berkenaan.

“Polis juga bekerjasama dengan pengurusan bank bagi menyemak transaksi wang masuk yang sudah diterima pasangan ini hasil dari sumbangan orang ramai.

“Masyarakat yang ingin menyalurkan sebarang sumbangan dinasihatkan agar melakukan semakan akaun berkenaan melalui pautan laman web (URL) http://ccid.rmp.gov.my/semakmule untuk mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, polis meminta orang ramai mengesan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kegiatan mereka meminta derma melalui media sosial.

Individu itu, Muhammad Amirul Iskandar Azhar Affandy, 22, yang beralamat terakhir di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Jalan Miri Off, Kuala Lumpur dan Maizatul Farahanis Mior Mohd Patah, 20, yang beralamat terakhir di PPR Pekan Batu, Batu 5 Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Syarifah Asiah Syed Husin ditalian 013-9063634 atau hubungi Inspektor Razmil Razak ditalian 012-7150785.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 8:45pm
d