mutakhir

Penunggang amuk ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEORANG lelaki ditahan selepas memukul pemandu van dan memecahkan cermin hadapan kenderaan itu di Jalan Besar Greenwood, Gombak, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Arshad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan dibuat pemandu van berkenaan berusia 25 tahun.

“Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, pemandu van berkenaan dalam perjalanan dari Plaza Idaman menghala ke Kepong. Sebaik tiba di lokasi, van dipandunya terlanggar bahagian sisi belakang sebuah motosikal Yamaha Y125, namun penunggangnya tidak terjatuh.

“Pemandu itu memberhentikan van di lampu isyarat dan menurunkan cermin untuk berbincang dengan penunggang berkenaan, namun lelaki terbabit mengeluarkan besi pengunci motosikal dan menghayun ke arah mangsa sehingga terkena sedikit di bahu kanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arshad berkata, pemandu van itu beredar dan berhenti di tepi jalan untuk berbincang serta meminta maaf, namun penunggang motosikal terbabit cuba memukul pengadu dengan menggunakan besi pengunci selain memecahkan cermin hadapan van berkenaan menggunakan besi.

“Mangsa takut dicederakan dan hanya duduk di dalam van berkenaan sambil merakam perbuatan suspek sebelum penunggang motosikal berkenaan beredar.

“Van berkenaan mengalami kerosakan di bahagian cermin hadapan, calar cermin tingkap pemandu, calar cermin sisi kanan dan kemek di bahagian belakang serta tepi kenderaan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan tidak mengalami apa-apa kecederaan.

“Berdasarkan laporan itu, kami menahan penunggang motosikal terbabit berusia 26 tahun yang tidak mempunyai rekod jenayah.

“Kami turut merampas besi berantai pengunci motosikal, satu helmet berwarna hitam dan sebuah motosikal Yamaha Y125 daripada suspek,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan dan khianat.

Terdahulu, satu hantaran berserta video berdurasi 28 saat menunjukkan seorang lelaki memarahi pemandu van berkenaan tular di Twitter, hari ini.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 8:53pm
d