mutakhir

MyCar gantung akaun pemandu kurang sopan

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

SYARIKAT perkhidmatan e-hailing MyCar mengambil tindakan tegas terhadap seorang pemandunya yang didakwa bersikap kurang sopan terhadap penumpangnya sebagaimana yang tular di media sosial Selasa lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Noah Maideen berkata, akaun pemandu berkenaan telah digantung atas kesalahan serius selepas pihaknya menghubungi pemandu dan penumpang terbabit bagi mendapatkan keterangan jelas mengenai isu tular berkenaan.

“Hasil perbincangan itu, isu berkenaan berjaya diselesaikan secara baik dan akaun MyCar pemandu itu digantung.

“Pihak penumpang juga sudah mengeluarkan kenyataan dan ciapan bahawa isu itu diselesaikan secara berhemah oleh pihak MyCar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh penumpang berkenaan.

Pada Selasa lepas, sebuah portal tempatan melaporkan seorang penumpang wanita mendakwa seorang pemandu MyCar bersikap biadab dan tidak menunjukkan layanan sepatutnya kepada pelanggan menerusi ciapannya di Twitter.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 9:18pm
d