mutakhir

TTA elak sesak

Oleh Faliq Lajim

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pelanggannya yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan sempena perayaan Krismas dan Tahun Baru 2020.

TTA bagi tempoh 21 Disember ini hingga 1 Januari tahun depan itu sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan kesesakan dan menyuraikan trafik di lebuh raya, kawasan rehat dan rawat serta plaza tol pada musim perayaan ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pelanggan dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.

“Manakala, pelanggan yang menuju ke lain-lain destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 3 petang.

“Bagi, orang ramai daripada negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor menuju ke Lembah Klang bagi tempoh yang sama, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.

“Pelanggan lebuh raya daripada lain-lain negeri atau destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 3 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, pihaknya amat menggalakkan pelanggan lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka berdasarkan jadual TTA yang dikeluarkan untuk menikmati perjalanan yang lebih lancar.

“Bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa, PLUS menasihatkan agar pelanggan menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka lebih awal, selain memastikan ia mempunyai baki yang mencukupi.

“PLUS juga menasihatkan pelanggan supaya mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya menerusi Twitter PLUSTrafik, papan tanda elektronik lebuh raya atau menghubungi talian PLUSLine di 1800 88 0000.

“Mereka juga disarankan supaya merujuk aplikasi Waze atau Google Map untuk merancang perjalanan ke destinasi masing-masing,” katanya.

Jadual TTA sempena perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2020 juga boleh didapati menerusi laman web PLUS di www.plus.com.my.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 11:30pm
d