mutakhir

Tak sempat lepas 'hajat'

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG lelaki warga Kemboja yang tidak sempat menunaikan ‘hajat’ lari lintang-pukang selepas tempat kerjanya di sebuah kedai makan di Kampung Alur Tempoyak di sini, diserbu pihak berkuasa dalam Op Selera, Rabu lalu.

Ketika serbuan, lelaki berusia 26 tahun itu dipercayai mahu membuang air besar namun terpaksa membatalkan hajatnya sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa dalam serbuan jam 1.30 tengah hari.

Bagaimanapun, usahanya sia-sia apabila penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu mengepung kawasan berkenaan terlebih dahulu.

Lebih menjijikkan apabila najis milik lelaki terbabit ditemui berciciran merata-rata di lokasi serbuan.

Pengarah JIM Terengganu, Rahim Hanafi berkata, pihaknya turut menahan empat lagi rakan senegaranya dan seorang wanita Indonesia dalam operasi diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan JIM Terengganu, Ahmad Salihin Salleh bersama 16 anggota.

Katanya, operasi yang dijalankan hasil aduan awam itu memeriksa 16 orang tempatan dan sembilan warga asing yang berada berhampiran lokasi kejadian sebelum enam daripada mereka ditahan.

“Enam yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita warga Kemboja berusia antara 15 dan 28 tahun serta seorang wanita Indonesia berusia 40 tahun.

“Mereka yang ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dihantar ke Depot Tahanan Imigresen, Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam operasi kedua di sebuah rumah di Kampung Cacar, Paka di sini, seorang wanita Indonesia berusia 48 tahun hampir ‘lemas’ berikutan tindakannya bersembunyi di dalam almari baju lama yang tertutup jam 2.40 petang.

Katanya, siasatan lanjut mendapati wanita terbabit melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Selain itu, kami turut menahan empat lagi lelaki Indonesia berusia antara 19 dan 50 tahun selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen,” katanya.

Rahim berkata, pihaknya menyerbu 14 lokasi di sekitar Dungun termasuk pasar raya dan tapak projek pembinaan serta dua lokasi tapak projek pembinaan di Kertih, Kemaman dalam Ops Belanja/Kutip/Sapu/Selera.

Katanya, seramai 247 warga asing diperiksa dengan 37 daripada mereka termasuk tiga wanita ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

“Antara kesalahan dilakukan adalah di bawah Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih tempoh dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen sah.

“Kita turut mengeluarkan borang 29 (saman saksi) kepada lima majikan untuk mereka hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: December 21, 2019 @ 8:01am
d