mutakhir

Sungai Repoh paling tercemar di Perlis

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SUNGAI Repoh di Kangar dikesan sebagai sungai paling teruk tercemar di Perlis apabila tebing dan kawasan sekitar menjadi tempat pembuangan sampah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Azizan Sulaiman berkata, meskipun pihaknya sudah mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab namun ia bagaikan ‘melepaskan batuk di tangga’.

“Masalah ini berpunca daripada sikap masyarakat setempat yang tidak mahu menggunakan tong sampah atau membuang sampah di pusat pembuangan disediakan.

“Penduduk lebih gemar membuang sampah di tebing sungai sehingga menjadikan ia sebagai pusat pembuangan sampah haram,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi SWCorp Bersama Rakan Strategik dan Media malam tadi.

Azizan berkata, meskipun perkara berkenaan pernah dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini namun masalah berkenaan bagai tiada noktah.

Katanya, pihaknya juga sudah meminta agensi yang berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk turun padang bagi membantu mencegah penduduk daripada mengulangi perbuatan berkenaan.

“Malah kerajaan negeri juga mengharap agar SWCorp dapat turut serta membantu mengekang masalah ini meskipun tebing dan kawasan sekitar sungai bukan di bawah seliaan dan bidang kuasa SWCorp.

“Kita harap penduduk mengambil tanggungjawab akan kebersihan sungai dan jika mereka berterusan mencemari sungai, tindakan akan diambil mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai sambutan penduduk terhadap program ‘Recycle For Life’, Azizan berkata, program berkenaan masih kurang mendapat sambutan.

Disiarkan pada: December 21, 2019 @ 12:10pm
d