mutakhir

Nasib Azlina dapat perhatian

Oleh Zuliaty Zulkiffli

NASIB menimpa Azlina Kasim, 48, yang menjaga suami dan anak yang menderita penyakit kronik mendapat perhatian ramai pihak.

Hari ini, keluarga itu menerima sumbangan daripada dua Ahli Majlis Daerah Pendang iaitu Rozee Mohamad dan Mohd Fitri Hassan.

Anak Azlina, Muhamad Hakimi Hamzah, 12, yang menghidap masalah buah pinggang bocor (Nephrotic Syndrome) yang bakal melangkah ke tingkatan satu tahun depan menerima sumbangan keperluan persekolahan.

Selain itu, keluarga terbabit turut menerima sumbangan daripada ahli perniagaan.

Rozee berkata, dia tersentuh dengan laporan Harian Metro hari ini berkaitan keluarga terbabit yang ditimpa kesusahan.

“Banyak wang yang dibelanjakan untuk menampung kos sepanjang di hospital dan keluarga ini tidak mampu untuk membeli barangan keperluan sekolah.

“Justeru, sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban Azlina untuk membeli kelengkapan sekolah anaknya,” katanya.

Dalam pada itu, Azlina berkata, walaupun ada kalanya anaknya tidak dapat hadir ke sekolah disebabkan menjalani rawatan namun anaknya mahu belajar.

Katanya, keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini juga memuaskan apabila Muhammad Hakimi memperoleh 2A walaupun terpaksa menjalani peperiksaan di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

“Saya juga terpaksa bergilir-gilir dengan anak perempuan untuk menjaga suami di Hospital Lama Alor Setar yang menghidap kanser paru-paru.

“Kalau tak ada duit, saya terpaksa meminjam wang dengan jiran atau adik beradik,” katanya hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan, seorang wanita hanya mempunyai RM13 dalam akaun bank dan tidak cukup untuk kos berulang-alik ke hospital selain terpaksa bergilir-gilir menjaga suami dan anak yang menghidap penyakit kronik.

Berita berkaitan

Ada RM13 sahaja!

Disiarkan pada: December 21, 2019 @ 2:01pm
d