mutakhir

Aduhai...

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PEMANDU lori parah, manakala dua kelindannya cedera selepas lori dinaiki terbabas dan terjunam ke dalam parit dalam kejadian di Jalan PJU 3/9 Bukit Jalil, Serdang, malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, kejadian berlaku sekitar 10.10 malam dan bomba menerima panggilan kecemasan enam minit berikutnya.

Katanya, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan penyelamat menemui sebuah lori lima tan berada dalam kawasan parit dan terdapat tiga mangsa di dalamnya dalam keadaan tersepit.

“Usaha mengeluarkan mangsa dilakukan dalam tempoh 30 minit dan seorang daripada mangsa cedera parah, manakala dua lagi cedera ringan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa kemudian diberi rawatan kecemasan awal sebelum dihantar ke Hospital Serdang (HS) untuk rawatan lanjut.

Disiarkan pada: December 21, 2019 @ 3:18pm
d