mutakhir

Diugut, terima 2 butir peluru

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG peniaga ayam hidup dalam ketakutan selepas menerima bungkusan plastik mengandungi dua butir peluru dan kertas berbaur ugutan dalam kejadian di Manir di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, pekerja lelaki berusia 25 tahun pergi ke kedai majikannya untuk membuka kedai sebelum menemui satu plastik di atas meja.

Menurut sumber, lelaki terbabit segera memaklumkan penemuan itu kepada majikannya yang berusia 51 tahun sebelum pemeriksaan lanjut menemui dua butir peluru dan kertas putih berbaur ugutan.

Katanya, suspek mengarahkan mangsa menutup perniagaannya jika tidak mahu perkara buruk menimpa diri dan ahli keluarga yang lain kerana didakwa mengganggu peniaga kecil yang lain.

“Suspek turut memberikan mangsa tempoh sehingga hari ini untuk menutup perniagaannya jika tidak mahu perkara lebih buruk berlaku, termasuk mencari mangsa sehingga ke rumah.

“Mangsa yang bimbang keselamatan diri membuat laporan di Balai Polis Manir pada hari yang sama untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.

Disiarkan pada: December 21, 2019 @ 5:37pm
d