mutakhir

Warga SK Melekek teruja sambut TKHM

Oleh Nazri Abu Bakar

“KAMI amat menghargai program amal Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) yang akan dijayakan di sekolah kami,” kata guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Melekek, Ali Ishak berhubung program Titipan Kasih Kembali Ke Sekolah yang bakal berlangsung esok.

Baginya, pemilihan itu, memberi makna besar kepada warga sekolah terutama membabitkan 30 penerima dalam kalangan asnaf bagi perbelanjaan persekolahan sesi 2020.

Beliau berkata, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) menyambut baik usaha Harian Metro bersama DRB -Hicom menjalankan misi khidmat masyarakat kepada golongan memerlukan.

Menurutnya, dia yakin program membeli peralatan sekolah membabitkan pelajar di pusat beli-belah di Cheng menjadi pemangkin motivasi kepada mereka untuk belajar dengan penuh fokus pada sesi pembelajaran kelak.

“Mereka dijadualkan bertolak dari perkarangan sekolah ke pusat beli-belah jam 7.30 pagi serta sesi pertemuan dan sumbangan berlangsung di sekolah kami jam 3 petang selepas makan tengah hari.

“Selain pelajar sekolah terdapat juga anak asnaf dari SK Simpang Ampat, SK Air Paabas, SK Sungai Buluh, SK Pegoh dan SK Cherana Putih yang akan berkumpul di dewan sekolah bagi memenuhi pengisian bermakna berkenaan,” katanya.

Ali berkata, apa yang pasti ianya amat melegakan ibu bapa penerima berikutan dapat meringankan beban menyediakan persiapan persekolahan anak mereka.

“Program ini diakui memberi impak besar terhadap sokongan kepada kumpulan memerlukan demi keselesaan mereka menikmati kesejahteraan seperti insan yang lain,” katanya.

Titipan Kasih Kembali ke Sekolah adalah program tanggungjawab sosial (CSR) akhbar Harian Metro yang bermatlamat membantu golongan memerlukan.

Menerusi program terbabit, seramai 150 penerima terdiri daripada anak yatim, keluarga miskin iaitu asnaf akan diberikan bantuan bagi membolehkan mereka membuat persiapan menjelang hari persekolahan bermula pada Januari ini.

Disiarkan pada: December 21, 2019 @ 6:40pm
d