mutakhir

Hidup harmoni [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan pemimpin agama dari negara luar kagum dengan keharmonian di negara kita khususnya di Pulau Pinang.

Baginda bertitah demikian mengulas pertemuannya dengan Archbishop of Canterbury, Justin Welby ketika berkunjung ke United Kingdom, baru-baru ini.

“Semasa melawat ke UK, saya berjumpa dengan Welby, bertukar pandangan dan buah fikiran mengenai masalah global yang boleh merosakkan imej agama tertentu.

“Beliau (Welby) kagum dengan negara kita kerana kita hidup dalam keadaan harmoni terutama ketika beliau melawat Pulau Pinang pada Oktober lalu.

“Walaupun berbilang bangsa dan agama, kita dapat hidup dalam keadaan harmoni. Walaupun berdepan dengan beberapa perkara kecil yang boleh menggugat keharmonian, kita perlu hormat menghormati sesama kaum dan agama serta berharap negara dapat ditadbir sebaik mungkin dan diberkati Allah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Pulau Pinang di Batu Gantung, semalam.

Baginda turut menyuarakan hasrat untuk melihat struktur pentadbiran agama Islam di seluruh negara dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Jawatan mufti umpamanya yang mana tarafnya boleh diangkat setanding dengan jawatan utama lain dari segi kebajikan dan statusnya.

“Begitu juga jawatan di Jabatan Kehakiman Syariah yang perlu dipertingkatkan statusnya berdasarkan kelayakan masing-masing supaya keistimewaaan dan kebajikannya lebih menarik,” titah baginda.

Sementara itu, baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari di restoran nasi kandar tertua di Pulau Pinang, Restoran Hameediyah, Lebuh Campbell, semalam.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua jam 12.30 tengah hari disambut orang ramai yang menunggu di sepanjang jalan berhampiran restoran berkenaan yang teruja melihat pasangan diraja itu.

Pasangan diraja itu meluangkan masa satu jam menikmati juadah di restoran berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Restoran Hameediyah Ahamed Seeni Pakir NM Abdul Sukkoor berkata, pihaknya berasa bangga kerana ini kali pertama ketua negara mencemar duli ke restoran yang kini berusia 112 tahun itu.

“Seri Paduka berdua berkesempatan mencuba pelbagai jenis juadah termasuk ayam ros, nasi beriani, murtabak, ayam belanda, daging rendang dan udang goreng. Baginda berdua mencuba semua jenis juadah dan menzahirkan rasa gembira dengan juadah yang dihidangkan,” katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2019 @ 6:00am
d