mutakhir

Helah menjadi

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TAKTIK penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menyamar sebagai pelanggan berjaya memperdayakan seorang penjaja ais krim warga Kemboja dalam operasi di pantai peranginan Bukit Keluang, Kampung Raja, Jertih semalam.

Dalam Operasi Jaja jam 5 petang, lelaki berusia 29 tahun yang didapati tinggal lebih masa di negara ini tidak mampu berbuat apa-apa selepas terperangkap dengan helah dilakukan.

Selain itu, JIM Terengganu turut merampas sebuah motosikal Honda EX5 Dream dan sebuah tong plastik merah ais krim milik lelaki terbabit.

Pengarah JIM Terengganu, Rahim Hanafi berkata, serbuan diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan JIM Terengganu, Ahmad Salihin Salleh bersama 18 anggota yang menyasarkan lokasi peranginan itu hasil aduan awam berkaitan kebanjiran penjaja warga asing di kawasan itu.

“Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut memeriksa lapan penjaja warga asing di lokasi sama serta sebuah kedai makan di Kuala Terengganu dalam Op Bersepadu (Op Jaja/ Selera).

Katanya, seramai 14 warga asing diperiksa dengan sembilan daripada mereka iaitu enam lelaki Kemboja, dua lelaki Thailand dan seorang lelaki India dikesan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

Disiarkan pada: December 22, 2019 @ 6:44am
d