mutakhir

966 pengunjung terkandas dibawa turun

Oleh BERNAMA

SEMUA 966 pengunjung yang terkandas di Bukit Bendera, Georgetown selepas perkhidmatan keretapi funikular di pusat pelancongan itu tergendala sejak 8 malam tadi, berjaya dibawa turun ke stesen bawah dengan selamat awal pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, mangsa dibawa turun menaiki pacuan empat roda ke Taman Botani sebelum dibawa menggunakan bas ke stesen bawah Bukit Bendera untuk mereka mengambil kenderaan dan pulang ke destinasi masing-masing.

“Secara keseluruhannya seramai 966 pengunjung terjejas membabitkan 793 orang di stesen atas yang tidak boleh turun selepas keretapi funikular itu terkandas di stesen tengah yang mana ketika itu seramai 173 lagi berada di stesen tengah itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi membawa turun pengunjung yang terjejas itu bermula 8.30 malam dan tamat sepenuhnya 1.03 pagi serta mereka berada dalam keadaan selamat.

Semalam Perbadanan Bukit Bendera (PHC) dalam satu kenyataan berkata keretapi funikular tergendala akibat kerosakan sistem.

Disiarkan pada: December 22, 2019 @ 11:12am
d