mutakhir

Kesal pencemaran air tak berkesudahan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PENDUDUK kesal ada pihak mengambil jalan mudah membuang sisa kimia sehingga menyebabkan pencemaran air kembali berulang.

Mohd Fadzil Muskam, 46, berkata, ia menyebabkan masalah kepada banyak pihak khususnya mereka yang berkeluarga kerana terpaksa menunggu lori tangki untuk mendapatkan bekalan air.

Beliau yang menetap di Kampung Rinching Hilir berkata, bekalan air yang dibawa lori sejak pagi tidak mencukupi kerana penduduk kampung yang ramai berpusu-pusu mendapatkan bekalan.

“Saya sudah tunggu lori air sejak 11 pagi dan terpaksa bergilir dengan anak untuk memastikan kami tidak terlepas jika bantuan air tiba.

“Rumah yang agak jauh dari jalan utama menyebabkan kami perlu berulang-alik mendapatkan bekalan sejak air terputus semalam,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Tinjauan di sekitar kampung berkenaan mendapati penduduk kampung sudah menyediakan tong air di luar rumah untuk mendapatkan bekalan dari lori tangki.

Bagi pesara, Johari Yusoff, 56, sudah tiba masanya pasukan penguatkuasaan perlu menggiatkan operasi untuk memastikan tiada pihak sewenang-wenangnya membuang sisa kimia.

Katanya, jika masalah ini berlarutan ia sudah pasti membantutkan aktiviti seharian masyarakat setempat.

“Masalah sama sudah berulang kali berlaku seakan tiada penyelesaian jangka panjang. Penduduk harap tiada lagi masalah ini pada masa akan datang.

“Pihak industri juga perlu lebih bertanggungjawab untuk pastikan kontraktor yang dipilih melupuskan sisa kimia mengikut prosedur pelupusan ditetapkan kerajaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2019 @ 4:43pm
d