mutakhir

200 murid, pelajar gunting rambut percuma

Oleh Adnan Ibrahim

REZEKI buat 200 murid dan pelajar di Kahang serta Paloh apabila berpeluang gunting rambut secara percuma menerusi program Kembali Ke Sekolah di Taman Sri Lambak, Kluang, hari ini.

Program anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sembrong.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Sembrong Siti Norreha Hussin berkata, selain gunting rambut, pihaknya turut menyampaikan sumbangan beg sekolah dan baucar pakaian kepada 200 pelajar lain yang memerlukan.

Katanya, penerima terdiri daripada anak golongan B40 di sekolah rendah dan sekolah menengah bertujuan meringankan beban keluarga mereka dalam menyediakan kelengkapan itu.

“Bagi khidmat gunting rambut percuma ini, ia diadakan secara berperingkat sepanjang minggu akhir cuti sekolah dan kita harap dapat juga membantu meringankan beban ibu bapa mereka,” katanya.

Dia ditemui di Rumah Komuniti Sembrong di Taman Sri Lambak yang turut disertai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sembrong, Hafiz Ariffin.

Dalam pada itu, beliau berharap bantuan berkenaan yang sudah dilaksana sekian lama, dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 11:05am
d