mutakhir

Kes Altantuya: Beberapa individu akan dipanggil [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS sudah menyenaraikan puluhan individu untuk diambil keterangan berhubung akuan bersumpah (SD) bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri yang mendakwa Datuk Seri Najib Razak terbabit kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya kini sedang menunggu arahan spesifik dari Jabatan Peguam Negara.

“Tindakan sedang diambil dan berjalan, beberapa individu juga sudah disenaraikan untuk diambil keterangan.

“Modus operandi polis sudah ada, prosedur operasi standard (SOP) juga ada, perkara ini kita tidak biarkan polis mengambil maklum perkara yang menjadi tarikan umum dan boleh menjejaskan keselamatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bukit Aman selepas Majlis Serah Terima Tugas Jabatan Logistik dan Teknologi serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

Terdahulu, pada 16 Disember lalu polis mahu melihat akuan bersumpah berhubung dakwaan Azilah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, polis perlu mengesahkan kesahihan akuan bersumpah yang mengaitkan bekas Perdana Menteri itu.

“Kita belum tengok lagi SD itu, kecuali kamu (media) boleh bawa kepada kami,” katanya.

Sebelum ini, anggota UTK berkenaan membuat dakwaan mengejutkan melalui akuan bersumpah mendakwa menerima arahan daripada Najib untuk membunuh Altantuya Shaariibuu.

Azilah membuat dakwaan itu ketika sedang menanti hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Altantuya.

Memetik laporan eksklusif portal berita Malaysiakini, dia yang kini berada di Penjara Kajang mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib yang ketika kejadian adalah Timbalan Perdana Menteri dan rakan rapatnya, Abdul Razak Baginda.

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 11:29am
d