mutakhir

Sosej babi, tempurung kelapa dirampas

Oleh Shamsul Munir Safini

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menahan seorang lelaki dari Sweden berusia 30 tahun yang membawa masuk 10 kilogram (kg) sosej babi sejuk beku di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang (LTABPP) semalam.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, lelaki berkenaan didapati membawa produk hasil haiwan itu di laluan penumpang lapangan terbang berkenaan.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, warga Sweden berkenaan menaiki penerbangan dari Qatar dan membawa bungkusan sejuk beku dipercayai sosej babi seberat 10 kg itu tanpa import permit (IP) MAQIS dan juga sijil kesihatan dari negara asal.

“Larangan import daging babi dan produk yang berasaskan babi melalui laluan udara adalah dilarang sama sekali.

“Ini kerana, virus ASF amat mudah merebak walaupun dengan kuantiti yang sangat sedikit. Antara produk-produk yang diklasifikasikan sebagai pembawa virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi sejuk beku, daging babi proses seperti babi salai, sosej babi dan produk babi lain.

Dalam perkembangan berasingan, MAQIS menahan seorang penumpang warga Thailand berusia 40 tahun bulan lalu yang membawa masuk tempurung kelapa seberat 5 kg yang dipercayai untuk tujuan hiasan tanpa IP daripada MAQIS dan juga sijil Fitosanitasi.

Katanya, perbuatan mengimport sosej babi dan tempurung kelapa tanpa permit yang sah daripada MAQIS adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3) Akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya.

Beliau berkata, MAQIS sentiasa memastikan kemasukan keluaran pertanian ke dalam negara adalah terkawal dan bebas daripada sebarang ancaman penyakit dan serangga perosak selain memastikan ia selamat untuk kegunaan dalam negara.

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 12:06pm
d