mutakhir

Macam mana boleh 'terjun' bro...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI gagal mengawal kereta dipandunya hingga terjatuh ke dalam ‘gaung’ di kawasan pembinaan di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Kuala Lumpur, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Superintendan Zulkafli Che Lah berkata, kejadian berlaku pada 7.30 malam.

“Siasatan awal mendapati Honda Civic dipandu lelaki berusia 38 tahun berkenaan terbabas sendiri selepas hilang kawalan, lalu masuk ke dalam ‘gaung’ di kawasan pembinaan itu.

“Kemalangan dipercayai berlaku kerana jalan licin disebabkan hujan lebat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkafli berkata, pemandu itu yang juga kakitangan swasta tidak cedera, namun keretanya rosak teruk di bahagian hadapan.

“Pemeriksaan awal mendapati pemandu tidak berada dalam pengaruh alkohol ketika kemalangan itu,” katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 12:44pm
d