mutakhir

Puluhan bom lama ditemui [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

PULUHAN bom lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua ditemui di kawasan Pelabuhan Darat Terminal Kargo Ipoh di Jalan St John di Ipoh, hari ini.

Difahamkan, bom berkenaan ditemui oleh pekerja syarikat penyelenggaraan yang melakukan kerja-kerja mengorek tanah di kawasan berkenaan, 8.30 pagi tadi.

Kejadian itu adalah kali kedua selepas penemuan pertama dilaporkan pada Jumaat lalu membabitkan lapan bom di kawasan sama.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati pihak polis sudah menjalankan siasatan lanjut.

Ia termasuk Unit Pemusnah Bom (UPB) yang melakukan pemeriksaan di lokasi penemuan.

Berdasarkan pengamatan, tidak kurang 20 bom lama yang ditemui dan disusun di sepanjang kawasan tanah yang di korek.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu.

Beliau berkata, pihaknya belum mendapat laporan lengkap mengenai kes itu termasuk jumlah keseluruhan bom yang ditemui.

“Polis sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Dalam penemuan Jumaat lalu, Mohamad Nordin berkata, lapan bom lama ditemui oleh pekerja syarikat penyelenggaraan yang melakukan kerja-kerja mengorek tanah di kawasan berkenaan pada 2.45 petang.

Katanya, kumpulan pekerja itu menjumpai empat butir bom sebelum selebihnya ditemui UPB yang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.

“Kesemua lapan bom lama itu sudah dilupuskan di sebuah kawasan kuari di Lahat.

“Polis percaya kawasan penemuan bom itu pernah dijadikan tempat penyimpanan bahan letupan milik tentera Jepun ketika perang dunia,” katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 1:48pm
d