mutakhir

Padah mengendap dalam panggung wayang

Oleh BERNAMA

PENIAGA didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah mengendap seorang wanita berusia 45 tahun di dalam panggung wayang, Jun lalu.

Tertuduh, C. Murugan, 52, membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim.

Dia didakwa melakukan perbuatan kurang sopan di tempat awam kepada seorang wanita warga Singapura dengan mengendap mangsa semasa menonton wayang di panggung wayang di pusat beli belah di sini pada 6.20 petang, 25 Jun lalu.

Murugan dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam P.Suthes merayu hukuman berbentuk denda yang rendah dengan alasan tertuduh kesal dan insaf atas perbuatannya.

“Tertuduh berkerja sebagai jurujual yang berpendapatan RM2,000 sebulan, tertuduh menanggung isteri serta seorang anak yang masih belajar. Tertuduh berjanji tidak akan ulang kesilapan sama,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh.

Terdahulu, Mohamad Aizat turut menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesilapan sama kerana perbuatannya boleh mendatangkan trauma kepada orang lain.

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 3:46pm
d