mutakhir

Terjun bangunan elak dicekup

Oleh Shamsul Munir Safini

PENDATANG asing tanpa izin (PATI) yang cuba melarikan diri nekad terjun dari tingkat satu sebuah flat bagi mengelak diberkas Jabatan Imigresen (JIM) dalam satu operasi di Bukit Mertajam, kelmarin.

Dalam kejadian itu, kesemua mereka berjaya dihalang sebelum diberkas pihak berkuasa dalam operasi khas PATI di Flat Taman Pelangi, Juru dan Flat Taman Kebun Sireh.

Pengarah JIM Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud berkata, cubaan mereka melarikan diri itu gagal apabila anggota JIM terlebih dahulu mengepung kawasan flat berkenaan dan melakukan pemeriksaan rapi di setiap rumah.

Katanya, operasi yang dilakukan bermula 10 malam itu berjaya menahan 29 PATI selepas mereka mendapati mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, selain ada yang tinggal di negara ini melebihi masa yang dibenarkan.

“Serbuan dilakukan selepas kami menerima aduan daripada orang awam mengenai jumlah warga asing yang semakin ramai menghuni di dua kawasan flat berkenaan.

“Walaupun beberapa siri serbuan dilakukan sebelum ini, namun kumpulan warga asing seolah-olah tidak takut dengan tindakan penguatkuasaan yang dibuat,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mendapati beberapa pemilik rumah mengambil jalan mudah mengaut keuntungan dengan memberi sewa rumah kepada warga asing, walaupun mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil siasatan kita mendapati pemilik rumah mengenakan bayaran sewa antara RM1,200 hingga RM2,000 kepada warga asing tanpa menyedari sebenarnya perbuatan mereka itu salah di sisi undang-undang,” katanya.

Muhamad Husni berkata, kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 19 hingga 45 tahun berkenaan bekerja kilang dan juga pembantu kedai, selain menyewa rumah sendiri dan bukan melalui majikan.

Menurutnya, mereka terdiri daripada 16 lelaki dan 13 wanita membabitkan warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal dan Pakistan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) ( c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 55).

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 4:06pm
d