mutakhir

'Allah beri peluang kedua'

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

SETAHUN yang lalu, lelaki ini berdepan pengalaman ngeri apabila terbabit dalam kemalangan di Krabi, Thailand sehingga tidak dibenarkan meninggalkan negara berkenaan.

Selepas setahun peristiwa itu berlaku, Abd Wahab Yahaya, 58, kini bersyukur selepas semuanya selesai dengan baik mengikut lunas undang-undang dan dia dibebaskan.

Menceritakan pengalaman yang ditempuhinya, Abd Wahab bersyukur kerana bantuan rakyat Malaysia dan pelbagai pihak, akhirnya perbicaraan berhubung kes kemalangan selesai dengan baik.

Dia kini giat menjalankan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan sekitar Selangor kerana mahu kembali menyumbang tenaga kepada masyarakat yang kurang berkemampuan.

“Sebelum ini Allah SWT sudah beri saya peluang untuk merasai bagaimana saat genting memerlukan bantuan orang ramai.

“Jadi, kini giliran saya pula untuk membantu masyarakat yang memerlukan dengan tenaga yang masih ada ini. Jika ada yang perlu bantuan saya akan segerakan hasil dana yang disalurkan rakan terdekat,” katanya kepada Harian Metro.

Abd Wahab dan isterinya, Junaidah Mohd Said, 46, pernah mendapat perhatian rakyat Malaysia apabila terbabit dalam kemalangan di pusat peranginan itu sehingga mengakibatkan seorang pejalan kaki maut, 19 Disember tahun lalu.

Akibatnya, dia yang menaiki motosikal ketika kejadian tidak dibenarkan untuk meninggalkan negara berkenaan sehingga perbicaraan selesai selain patah tulang rahang, pipi kanan dan hidung selain pendarahan pada mata.

Keluarga mangsa juga meminta pampasan sebanyak RM200,000 sehingga menyebabkan ahli keluarga Abd Wahab terpaksa mendapatkan bantuan orang ramai.

“Selepas setahun kejadian, saya semakin positif walaupun ada kalanya tetap terkenang insiden yang nyaris meragut nyawa saya dan isteri.

“Alhamdulillah, saya diberi kesempatan kedua untuk hidup dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia dan kenalan di Krabi serta pihak yang terbabit membantu saya dari awal hingga kes selesai.

“Saya juga menasihatkan rakyat Malaysia yang mahu ke luar negara agar mendapatkan perlindungan insuran bagi memudahkan urusan perubatan dan tuntutan jika berlaku kemalangan,” katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 4:09pm
d