mutakhir

Dah 40 kali tempuh banjir

Oleh Ramli Ibrahim

MESKIPUN sudah uzur, warga emas berusia 93 tahun yang tinggal di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, masih bertenaga untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berseorangan setiap kali banjir.

Mariam Yusoff berdepan kira-kira 40 kali bencana banjir sepanjang hidupnya dan ketika ini, hanya bergantung bunyi siren dipasang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tepi sungai belakang rumahnya.

Katanya, dalam tempoh bulan ini, dia sudah dua kali berpindah pada tengah malam berikutan bunyi siren, walaupun air belum mencecah lantai rumahnya.

“Mak cik tinggal seorang diri di rumah Program Bantuan Rumah (PBR) berikutan lima anak perempuan yang masing-masing sudah berkeluarga tinggal di luar negeri.

“Mak cik bersedia untuk berpindah jika diramalkan gelombang ketiga berlaku, namun memang bergantung kepada isyarat bunyi siren sama ada waktu pagi, petang atau malam,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, berikutan uzur, dia tidak mampu lagi untuk membuat persiapan, termasuk mengemaskan barangan dan terpaksa membiarkan barangan di rumah begitu sahaja setiap kali berlaku banjir.

“Setiap kali berlaku banjir, mak cik berpindah membawa diri ke tempat selamat dan sebelum ini juga sudah banyak barang rosak terbiar dalam rumah.

“Malah, kesan lumpur empat kali banjir sebelum ini juga masih ada dalam rumah dan bersyukur ada pihak datang membersihnya hari ini,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Sukarelawan Perihatin Gua Musang bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil masa empat jam membersih rumah warga emas itu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sukarelawan Perihatin Gua Musang, Mohd Faizal Mohd Nasrah, berkata pihaknya terpanggil untuk membersih rumah warga emas itu kerana keadaan dalam dan luar rumah itu agak terbiar serta kotor.

“Di samping membersih rumahnya, kami juga menghulurkan barang makanan seperti beras, gula, biskut dan susu,” katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 6:52pm
d