mutakhir

Lari tinggal 26,388 anak pokok seludup

Oleh Syaherah Mustafa

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan merampas 26,388 anak pokok hiasan tanpa permit import sah dipercayai dibawa masuk dari Thailand.

Pengarahnya, Mohd Azam Yahya berkata, rampasan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 yang berkawal di pangkalan haram Limau Purut, Rantau Panjang sempena Ops Wawasan Kelantan pada 7 malam, 22 Disember lalu.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati 25,240 anak pokok jarum merah jambu dan 1,148 anak pokok fern yang dianggarkan bernilai RM130,000 tiada permit import sah.

“Semua anak pokok itu ditemui dalam lori yang mana pemandunya sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota PGA.

“Untuk itu semua rampasan termasuk lori dirampas dan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama,” katanya.

Mohd Azam berkata, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan pihak bertanggungjawab dan MAQIS bekerjasama erat dengan pihak berkuasa keselamatan di sempadan bagi mengekang penyeludupan.

“MAQIS bertanggungjawab memastikan tiada penyakit dan risiko kemasukan perosak serta keselamatan makanan, selain akan terus komited membanteras penyeludupan hasil pertanian,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 11:52am
d