mutakhir

Dadah dalam kiub ais pula [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEORANG pakar memproses dadah mencipta kiub ais mengandungi dadah jenis ketamin bagi mengelakkan kegiatan pengedarannya dihidu polis.

Modus operandi baharu itu dikesan hasil maklumat dan risikan dijalankan polis kira-kira tiga bulan lalu.

Lelaki berusia 33 tahun itu bergerak secara berseorangan bagi mengedar dadah dalam bentuk kiub ais berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, bagaimanapun dia berjaya ditahan selepas polis menyerbu sebuah rumah teres dijadikan makmal mini di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

“Sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menyerbu rumah berkenaan dan menahan lelaki terbabit.

“Pemeriksaan di rumah terbabit menemui 14 peket dadah jenis ketamin seberat 3.19 kilogram (kg), lima bekas plastik dadah ketamin seberat 4.9kg dan 27 pil ekstasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya turut merampas beberapa bahan mentah, bekas dan peralatan memasak yang digunakan untuk memproses dadah berkenaan.

Beliau berkata, dadah berkenaan diproses dan dijadikan kiub ais sebelum diedarkan di pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

“Siasatan awal mendapati suspek turut mengedarkan kiub ais berkenaan ke Indonesia.

“Polis percaya suspek bersekongkol dengan pemilik premis hiburan untuk mengedarkan dadah berkenaan kerana dadah itu perlu diletakkan di dalam peti ais,” katanya.

Beliau berkata, satu kiub ais dijual dengan harga RM120 dan akan dicampurkan dengan air masak sebelum ia larut di dalam air.

Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan dadah berkenaan bernilai RM490,000 dan polis turut merampas wang tunai berjumlah RM200 daripada suspek.

Katanya, suspek kini direman sehingga sehingga 26 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 2:18pm
d