mutakhir

Lebih 1,000 penduduk guna laluan alternatif

Oleh Recqueal Raimi

LEBIH 1,000 penduduk di dua kampung di Kota Belud, terpaksa menggunakan laluan pejalan kaki sebagai alternatif selepas jalan raya menghala kampung mereka terjejas akibat runtuhan bukit sejak 21 Disember lalu.

Difahamkan, hujan berterusan di Kampung Kiau Nulu dan Kampung Kiau Bersatu menyebabkan dua runtuhan bukit berlaku di sepanjang 30 meter sekali gus menutup jalan ke kampung terbabit.

Ketua Kampung Kiau Toburi, Liam Sumbin yang mewakili kedua kampung itu berkata, ketiadaan laluan alternatif selepas gempa bumi pada 2015 lalu menyebabkan penduduk terpaksa bergotong-royong membina laluan baru untuk pejalan kaki di tebing gaung.

“Penduduk membersihkan laluan selain memasang tali pada pokok dan membina tangga diperbuat daripada tanah untuk memintas kawasan runtuhan.

“Kemudian penduduk akan kembali menaiki kenderaan lain untuk berulang alik ke kampung atau ke Pekan Kota Belud, Ranau dan Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Liam, bermula dari simpang Jalan Tamparuli-Ranau, laluan memasuki kampung itu adalah sejauh dua kilometer.

“Keadaan ini membimbangkan penduduk, lebih-lebih lagi ada dua majlis perkahwinan akan berlangsung pada 27 dan 28 Disember ini,” katanya.

Sementara itu, Penolong Jurutera JKR Kota Belud, Sadian Mindou berkata, sebaik menerima aduan penduduk berhubung kejadian pada 21 Disember lalu, pihaknya dengan kerjasama syarikat konsesi menjalankan kerja pembersihan.

“Setakat ini, usaha membersihkan laluan jalan raya masih dijalankan dan pekerja harus berhati-hati disebabkan cuaca hujan tidak menentu dan boleh menyebabkan kejadian berulang,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 3:03pm
d