mutakhir

Dua beradik didakwa terima RM3 juta

Oleh Murni Wan Omar

DUA beradik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan menerima wang RM3 juta yang bukan milik mereka, tahun lalu.

Rafidhah Kamaruddin, 52, dan Ri’ayah Kamaruddin, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas perbuatan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mereka didakwa bersama-sama dengan curangnya menerima wang RM3,190,241.37 kepunyaan Syarikat Crest Hill Group LTD ke dalam akaun bank milik syarikat mereka, yang mana mereka mengetahui wang tersebut bukan milik mereka di sebuah bank di Jalan Ampang Kuala Lumpur pada 21 dan 22 November 2018.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Syahieza Md Hadzaid menawarkan jaminan RM1 juta setiap seorang dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Rafidhah dan Ri’ayah yang tidak diwakili peguam, merayu jumlah jaminan dikurangkan atas alasan mereka mempunyai tanggungan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM280,000 seorang dan memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah juga menetapkan 23 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 3:47pm
d